Pondok Moden Al 'Abaqirah

Pengenalan

Idea penubuhan Pondok Moden Al-'Abaqirah (PMA) telah dicetuskan oleh Sahibul Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al- Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan untuk melahirkan cendekiawan Islam yang mahir dalam ilmu agama dan ilmu duniawi. 

Mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kali ke 131 bil. 1/2015 pada 23 Mac 2015 bertempat di Masjid Wilayah Jalan Duta telah meluluskan penubuhan Pondok Moden Al-'Abaqirah.

Majlis Pelancaran Pondok Moden Al-'Abaqirah telah dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 1 Julai 2015.

PMA telah mula beroperasi secara rasminya pada 16 Ogos 2015 di Bangunan Darul Hidayah, Kg. Baru dengan jumlah bilangan pelajar seramai 44 orang. Pada 2 Februari 2016, PMA menerima kemasukan pelajar kali ke-2 seramai 108 orang. Bagi menampung bilangan pelajar yang meningkat PMA telah berpindah ke Bangunan Kompleks Darul Kifayah di Koperasi Polis, Fasa 2 Batu Caves, Kuala Lumpur. 

Pembangunan PMA pada masa akan datang akan dilaksanakan di tapak milik MAIWP di Setiawangsa. Pada masa ini, pelajar PMA mempunyai seramai 205 orang yang mengikuti kelas pengajian di tahun 1 ,tahun 2 dan tahun 3.

Pondok ini dinamakan Moden Al-'Abaqirah berasaskan kepada perkataan Al-'Abaqirah dalam bahasa arab yang bererti abqari iaitu genius atau teramat pintar.

Antara ciri-ciri abqari itu ialah kecerdikan yang luar biasa, pantas membuat keputusan, tekun dan teliti dalam sebarang tindakan, memahami hikmah dan maslahat. Begitu juga sentiasa melihat dalam bentuk yang lebih luas dan jelas. Harapannya agar pelajar yang melalui sistem pembelajaran di pondok ini akan dapat menjadi tokoh ilmuan Islam yang benar-benar genius dan bijaksana.

Hal ini akan dapat direalisasikan apabila paduan kerjasama yang erat antara guru, pentadbir dan juga pelajar disamping ibu bapa yang mahu mencipta kejayaan dengan masing-masing mengembeling seupaya tenaga, ilmu dan pemikiran untuk menzahirkannya.

Visi

Melahirkan tokoh yang benar-benar berwibawa dan pakar rujuk dalam pelbagai bidang ilmu agama.


Falsafah

Mewujudkan pelajar yang penuh keilmuan dengan ketaqwaan serta memiliki akhlak yang unggul dan berprofesionalisme.

Misi

Menjadikan pendidikan pondok terbaik yang mampu melahirkan golongan Al-’Abaqirah yang menguasai pelbagai disiplin ilmu dan pendidikan yang bersepadu.


Moto

"Taqwa, Bijaksana, Keluhuran Peribadi"

Objektif



Melahirkan ulama’ rabbani yang pakar dalam bidang agama dan kehidupan.


Mengisi kepakaran Islam dalam pelbagai disiplin ilmu seperti syariah, akidah, akhlak (tasawuf), muamalat dan lain-lain. Disamping mengkaji kitab-kitab turath dalam bentuk transformasi dan     moden.


Sebagai barisan pelapis kepada Ashab Al-Samahah Mufti, hakim syarie dan juga pakar rujuk di Malaysia dan negeri-negeri amnya.

Melahirkan “faqih yang bersifat pendakwah dan pendakwah yang bersifat faqih” agar keperluan mengkaji kitab-kitab turath dalam bentuk tranformasi dan moden dan dalam saat yang sama mementingkan sahsiah dan ilmu para ulama’ terdahulu agar keberkatan ilmu sentiasa wujud.


Mengemukakan di pentas dunia Islam dan dunia watak sahsiah dan ilmiah seperti  Dr. Yusuf al-Qaradawi, Maulana Abi Hassan al-Nadwi, Dr. Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain yang menjadi bintang dan pelita kepada ummah pada masa kini.

Hubungi Pondok Moden Al-'Abaqirah

Alamat
Lot 52566, D/A Kompleks Darul Kifayah
Jalan 36/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2
Batu Caves 68100 80721 Kuala Lumpur


03 - 6186 7188
03 - 4044 9444
Isnin - Jumaat : 7.30 pagi - 5.00 petang
Sabtu - Ahad : Tutup
TOP